Berita Setempat
SIK 16 Dis. – Penderitaan dua beranak orang kurang upaya (OKU), Chom Senapi, 70, dan anaknya, NorZaini Ismail, 46 yang hidup dalam keadaan serba kekurangan di Jeneri di sini memerlukan perhatian orang ramai untuk menghulurkan bantuan. Kesukaran kehidupan Chom yang mengalami masalah daya ingatan semakin bertambah apabila NorZaini yang buta serta lembam menghidap penyakit barah payu dara kronik yang dapat dikesan sejak sebulan lalu. Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kebajikan Kampung (JKKK) KEDA Sungai Jemiar, Ismail Osman, 56, berkata, paling menyedihkan apabila wanita warga emas itu tidak dapat mengetahui penyakit NorZaini memandangkan masalah ingatannya. “Mereka dua beranak ini jarang keluar rumah memandangkan keadaan mereka yang OKU, hanya jiran-jiran yang terdekat memantau keadaan mereka. “Penyakit yang dihidapi NorZaini hanya diketahui, apabila salah seorang jiran terdekat mengesyaki bentuk badannya agakberlainan lalu memeriksa badannya. Selepas itu mereka menghantarnya ke Hospital Daerah Sik untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika ditemui di rumah Chom di sini baru-baru ini. Bagi mereka yang ingin membantu keluarga berkenaan boleh menyalurkan sumbangan ke dalam akaun AgroBank dengan nombor akaun 2-00-5101-00003814-1 (Chom Senapi) atau 1-00-5101-00001790-1(Noor Zaini Ismail).